Wednesday 24 August 2011

SAR Al-Falah, tuan rumah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Sekolah-Sekolah Agama (JHEAINS)


4 April 2011 merupakan tarikh bersejarah bagi SAR Al-Falah kerana julung kalinya menjadi tuan rumah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Sekolah-Sekolah Agama (JHEAINS). Ini adalah pertama kalinya SAR Al-Falah mengendalikan majlis yang melibatkan seluruh sekolah-sekolah agama (JHEAINS). Majlis ini juga telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisa Samat . Ustaz Mohd.Tahrir Bin Zaini Siri merupakan individu yang bertanggungjawab  keatas majlis tersebut. Beliau juga yang merupakan Pengarah bagi majlis tersebut telah merancang dengan teliti dan memastikan majlis berjalan dengan lancar . Di atas bantuan dan komitmen jitu yang diberikan oleh ahlijawatankuasa majlis, majlis telah berlangsung dengan jayanya.

Sehubungan dengan itu, persiapan telah dilakukan 2 bulan sebelum berlangsungnya majlis tersebut. Antara persatuan yang terlibat dalam menjayakan majlis tersebut adalah Kumpulan Selawat  Al-Falah yang diketuai oleh Puan Hajah Mudarwatii. Persatuan ini telah banyak membantu dari segenap aspek termasuklah bahagian dekorasi pentas, halaman dan catering.

Selain itu, persiapan daripada para peserta  SAR Al-Falah juga tidak kurang hebatnya. Guru pembimbing dan para peserta  bertungkus lumus bagi memastikan gelaran johan keseluruhan tidak jatuh ke tangan sekolah lain. Namun, pada akhirnya gelaran itu telah jatuh ke tangan sekolah lain, iaitu Sekolah Agama Negeri Islamiah Tawau. SAR Al-Falah tetap menghantar beberapa wakil pesertanya untuk mewakili peringkat negeri. Pelajar yang mewakili ke peringkat negeri adalah Mohd Afiq Afian dan Afiqah Afian yang kedua-duanya mewakili bahagian maharat-ul- kitabah.

Uniknya, majlis tersebut telah diserikan dengan 2 kumpulan nasyid yang diwakili oleh Akademi Nasyid Al-Falah (SAR Al-Falah) dan kumpulan nasyid  daripada SAR Quba’. Akademi Nasyid Al-Falah menampilkan persembahan yang berbeza daripada kumpulan nasyid lainnya kerana kumpulan tersebut terbentuk hasil daripada gabungan antara guru dan pelajar.  Mereka menampilkan lagu yang dipopularkan oleh kumpulan Qatrunnada iaitu “mari mengenal nabi.”

Antara ucapan yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohd. Tahrir Bin Zaini Siri adalah berkenaan dengan asuhan anak-anak yang perlu disemat sejak daripada kecil. Anak-anak perlulah disemai dengan nilai-nilai murni agar tumbuh dan berkembang menjadi pewaris ulama’ pada suatu hari nanti. Semoga intisari ucapan tersebut menjadi pedoman buat kita yang masih hidup di alam yang sementara ini. Amin.